Saturday, November 6, 2010

warkah untuk sahabat

  1. Tiba-tiba saya terdetik untuk menulis mengenai tajuk ini.Apa yang ditulis ini adalah benar-benar daripada apa yang ada dalam isi hati ini.Saya memilih perkataan ‘warkah’ kerana menganggap penulisan ini ditujukan khas kepada semua sahabat saya yang mengenali diri ini,sebagai satu perkara yang tersangat-sangat penting untuk kalian mengetahuinya.Semoga kalian memberikan perhatian yang serius terhadap apa yang akan ditulis.
  2. Saya mungkin pada pandangan kalian,berbagai-bagai persepsi yang mungkin kalian telah sematkan mengenai diri ini tetapi semua itu tidak penting.Saya dengan rendah diri mengetahui dan menyedari bahawa diri ini sememangnya mempunyai banyak kelemahan,kekurangan dan cacat cela.Saya bukanlah orang yang terbaik untuk menjadi dijadikan contoh dan teladan.Mungkin terlampau banyak perkara yang saya ungkapkan dan tuliskan tidak dibuktikan pada perbuatan dan amalan.
  3. Maka dengan itu,saya menyeru kepada kalian yang dikasihi,mulai dari hari ini janganlah malu-malu dan segan untuk menegur dan menasihati diri ini jikalau ada tersilap dan tersalah pada mana-mana perkara.Saya insya Allah boleh menerima dengan baik setiap teguran yang diberikan.Sebenarnya saya amat-amatlah merindui teguran dan nasihat yang khusus untuk diri ini.
  4. Saya tidaklah mengharapkan daripada kalian wang ringgit,harta benda,gelak ketawa dan mana-mana habuan dunia tetapi cuma menagih kepada nasihat dan teguran yang suci dan jujur untuk diri ini.Saya sedar bahawa ramai yang merasa malu dan segan untuk menegur saya atas banyak faktor,tapi ketahuilah saya sangat-sangatlah memerlukan teguran atas kekurangan diri ini.
  5. Saya juga tidaklah memerlukan ribuan sahabat yang boleh ketawa bersama sebaliknya saya menagih seorang sahabat yang boleh menangis bersama,menginsafi dosa-dosa yang telah dilakukan selama ini,mengenangkan betapa banyak nikmat Allah yang telah kita kufuri(maksudnya kita tidak menggunakan nikmat Allah pada jalan yang diredhai-Nya),serta mengingati berapa banyak amanah dan tanggungjawab yang kita tak laksanakan.
  6. Cuma satu ini saja permintaan saya daripada kalian(sebagaimana yang disebutkan di atas):TEGURLAH SAYA TANPA TERAGAK-AGAK ATAS KESILAPAN,KEKURANGAN,KELEMAHAN DAN CACAT CELA SAYA!
  7. Di kesempatan ini juga,saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada sahabat-sahabat yang pernah menasihati dan menegur diri ini,semoga Allah sentiasa merahmati hidup kalian!
  8. Akhir sekali saya berharap dan berdoa agar kita semua menjadi antara 7 golongan yang terpilih untuk dinaungi dengan naungan Allah pada hari tidak naungan melainkan naungan-Nya(iaitu hari kiamat) antaranya disebabkan oleh al-ukhuwwah fillah iaitu kita saling mengasihi kerana Allah,bertemu dan berpisah kerana Allah.(Diriwayatkan oleh al-Imam Bukhori dan Muslim rahimahumallah)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...